PONTIAN, 8 Jun – Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Operasi Kawalan Kumbang Merah Palma (RPW) bilangan 2/2016 dan Mesyuarat Pengurusan Perosak Tanaman peringkat Negeri Johor telah diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Pertanian Daerah Pontian dan dikelolakan oleh Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Negeri Johor.
Mesyuarat yang melibatkan beberapa agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA Inc.) telah di pengerusikan oleh Pengarah Pertanian Negeri Johor, Encik Ahmad Kamil bin Mohd Yunus bermula pada jam 9.00 pagi. Di dalam mesyuarat tersebut pihak urusetia telah membentangkan status semasa status serangan perosak (RPW) kepada tanaman daripada famili palma bagi Semananjung Malaysia dan status kehadiran perosak tersebut di Negeri Johor.
Pada sesi petang, ahli mesyuarat telah dibawa ke Projek Tanaman Kurma iaitu Syarikat Kurma Empire Agro Farm yang bertempat di 27/2 Kampung Maju Jaya 81500 Pekan Nanas, Pontian. Ketibaan jawatankuasa mesyuarat telah disambut mesra oleh barisan pengurusan syarikat yang di ketuai oleh pengasasnya Encik Mohd Rozaman bin Yahya. Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas syarikat dan perbincangan tertutup bagi tujuan perkongsian maklumat memandangkan tanaman kurma adalah tanaman yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia kerana dibimbangi menjadi perumah kepada perosak.
Susulan itu, pihak jawatankuasa dan urusetia telah diberikan taklimat dan demonstrasi kawalan serangga perosak kumbang merah palma (RPW) telah disampaikan oleh Encik Azhar bin Suratman, Penolong Pegawai Pertanian (Bahagian Boisekuriti Teknikal Johor). Majlis diakhiri dengan penyampaian kit peralatan pelindungan diri (PPE) kepada pengusaha sebagai galakkan untuk membendung serangan RPW di Negeri Johor.







