Perkhidmatan Siasatan Guna Tanah

Pengenalan

Jabatan Pertanian mengumpul dan mengemaskini maklumat penggunaan tanah untuk sektor pertanian dan bukan pertanian dari masa ke semasa. Ini akan membantu perancang-perancang pembangunan tanah menggunakan data-data ini untuk mengkaji corak pertukaran dan penggunaan tanah di negara ini bagi tujuan perancangan projek-projek pembangunan dengan lebih berkesan.

Perkhidmatan

Semenjak tahun 1966, Jabatan Pertanian telah menjalankan penyiasatan gunatanah secara sistematik menggunakan foto udara dan mula menggunakan imej satelit pada tahun 1988. Ini bertujuan untuk mengesan dan mengemaskini perubahan kawasan-kawasan gunatanah untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia. Pengemaskinian pertukaran gunatanah hanya melibatkan kawasan melebihi 20 hektar. Kini, aktiviti ini dijalankan secara dua tahunan yang berpandukan kepada interpretasi imej satelit. Imej LANDSAT TM dan SPOT dijadikan data asas dan disunting mengikut format lembar Peta Topografi JUPEM Siri 7030.

Selepas imej diinterpretasi, kerja-kerja verifikasi di lapangan dijalankan dan seterusnya maklumat peta gunatanah semasa dikemaskinikan. Ini akan menghasilkan peta gunatanah yang baru. Pemprosesan dan analisa peta gunatanah ini selanjutnya akan membolehkan data dan statistik keluasan untuk kategori-kategori utama gunatanah diperolehi. Maklumat ini disalurkan kepada Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk penyediaan dan pengeluaran peta-peta yang memenuhi kehendak pelanggan.

Selain dari penyiasatan gunatanah secara sistematik, penyiasatan gunatanah secara lengkap juga dilakukan bagi projek-projek khas contohnya untuk tanaman kelapa, padi, limau dan lain-lain projek atas permintaan pelbagai pihak di dalam Jabatan. Penyiasatan dibuat bertujuan untuk mengetahui status tanaman ataupun pemetaan kawasan tanaman tertentu. Kebiasaannya, aktiviti ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Pegawai Penghubung

Nama : Puan Hajah Norzita binti Hashim
No. Telefon : 07-7581031
No. Faks : 07-7581388
Emel : uppstah@johor.gov.my, norzita.hashim@johor.gov.my
Jawatan : Pegawai Pertanian Kuasa Usaha (G52)
Alamat : Pusat Pertanian Ayer Hitam, 86100 Ayer Hitam, Johor

Loading