PUTRAJAYA, 17 Februari – Jabatan Pertanian merampas sebanyak 10,125 racun perosak tidak berdaftar bernilai RM50,625.
Rampasan produk seludup dari China yang mengandungi racun merbahaya itu dilakukan Pasukan Penguatkuasaan Lembaga Racun Makhluk Perosak, di sebuah premis menjual input pertanian di Kampung Gajah, Perak.
Jelas Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan, dalam serbuan pada 1 Februari lalu terdapat beberapa pelanggan dan dua pekerja berada di dalam premis terbabit.
Pemeriksaan lanjut menemukan 81 kotak mengandungi 125 paket 40 gram racun siput gondang emas yang dijual pada harga serendah RM5 sepaket yang turut dijual secara dalam talian.
Lebih membimbangkan racun berkenaan mengandungi perawis aktif ‘Fentin Acetate’ yang diharamkan penggunaannya berikutan impaknya terhadap alam sekitar.
“Masalahnya bahan itu adalah sangat toksik. Itu yang pihak kami risau sebab kalau petani gunakan bahan tersebut terabur atau tertumpah, dia akan beri kesan kepada badan. Alam sekitar juga akan turut terjejas, seperti ikan, titik semua ternakan yang ada akan terjejas dan terkesan,” katanya di sini.
Pemilik premis akan didakwa mengikut Seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama dan penjara selama enam tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua,” katanya lagi.
Sementara itu, Zahimi berkata terdapat 22 produk racun siput berdaftar yang boleh digunakan oleh petani bagi mengatasi masalah serangan haiwan perosak tersebut kerana mempunyai tahap toksisiti yang rendah kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.
Terdapat penjualan racun haram dilakukan secara dalam talian, beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa penyedia platform untuk memperkenalkan kempen dan akta yang perlu dipatuhi berhubung perkara itu.
Sumber Dari : Berita RTM
