KOTA TINGGI, 2 November 2026 – Seramai 10 pengusaha ladang di kawasan Mukim Sedili Kecil dan Mukim Ulu Sungai Johor telah terlibat dalam Audit Luar Pensijilan Baharu dan Pembaharuan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (Malaysian Good Agricultural Practices – myGAP) sebagai usaha memperkukuh pematuhan terhadap amalan pertanian baik serta meningkatkan kualiti pengeluaran hasil pertanian.
Daripada jumlah tersebut, tujuh ladang terlibat dalam proses audit bagi tujuan pembaharuan sijil myGAP, manakala tiga ladang lagi menjalani audit bagi tujuan mendapatkan pensijilan baharu.
Audit telah dilaksanakan oleh dua orang auditor myGAP, iaitu Encik Roma Ahmaja bin Abu Bakar, Pegawai Pertanian, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman dan Encik Khairul Fathir bin Talha, Penolong Pegawai Pertanian, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman.
Turut bersama sepanjang pelaksanaan audit ialah Puan Noorfarahin binti Sahari selaku Desk Officer myGAP, Encik Mohamad Iswandi bin Ashari, Agen Pengembangan Tanaman (APT) bagi Mukim Sedili Kecil, Sedili Besar dan Kambau serta Encik Mohd Afifi bin Ariffin, APT Mukim Ulu Sungai Johor.
Pelaksanaan audit ini bertujuan menilai tahap pematuhan pengusaha terhadap keperluan dan piawaian pensijilan myGAP, khususnya dari aspek pengurusan ladang, keselamatan makanan, penggunaan input pertanian serta penjagaan alam sekitar.
Pensijilan myGAP merupakan salah satu instrumen penting dalam menggalakkan pengusaha mengamalkan kaedah pengeluaran pertanian yang lebih sistematik, selamat dan bertanggungjawab. Pelaksanaannya turut membantu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap hasil pertanian yang dihasilkan melalui amalan pertanian baik.
Diharapkan pelaksanaan audit secara berterusan ini dapat meningkatkan kesedaran dan komitmen pengusaha terhadap pematuhan piawaian myGAP, sekali gus memperkukuh daya saing sektor pertanian serta menyokong pengeluaran makanan yang berkualiti dan mampan di negeri Johor.
Jabatan Pertanian – Memacu Pertanian, Menjamin Sekuriti Makanan.



![]()
