KOTA TINGGI, 9 Oktober 2026 – Sektor pertanian dan akuakultur dikenal pasti sebagai antara sektor berpotensi tinggi dalam pelaksanaan Johor Economic Transformation Plan (JETP) Daerah Kota Tinggi, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan dan pewujudan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Perkara tersebut dibincangkan dalam Taklimat JETP Daerah Kota Tinggi yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Haji Miswan bin Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Turut hadir ialah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daerah Kota Tinggi, iaitu YB Dr. Muhammad Naqib bin Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap ADUN Panti; YB Datuk Seri Dr. Adham bin Baba, ADUN Pasir Raja; YB Tuan Adnan bin Tamin, ADUN Tanjung Surat; YB Tuan Muszaide bin Makmor, ADUN Sedili; YB Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar; serta YB Cik Norlizah binti Noh, ADUN Johor Lama.

Sektor pertanian dalam taklimat tersebut turut diwakili oleh YB Tuan Haji Md Israk bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor; Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor; serta Encik Mohd Hafizh bin Hussain, Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi.

Pembangunan sektor pertanian dan akuakultur yang berdaya saing berpotensi memperkukuh rantaian nilai agromakanan, merangsang aktiviti ekonomi setempat serta meningkatkan pendapatan pengusaha dan komuniti luar bandar. Potensi ini juga membuka ruang kepada penerokaan peluang pelaburan dan pengembangan aktiviti pertanian yang lebih moden, produktif dan mampan.

Diharapkan pelaksanaan JETP Daerah Kota Tinggi dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti setempat dalam merealisasikan potensi sektor pertanian dan akuakultur, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah yang inklusif dan berimpak tinggi serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri Johor.

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *