TANJUNG PIAI, PONTIAN, 16 November 2026 – Jabatan Pertanian Negeri Johor telah menganjurkan Program Khidmat Sosial Korporat (CSR) Transformasi Hijau – Kelestarian Alam, Warisan Generasi bertempat di Taman Negara Tanjung Piai, Kukup, Pontian sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan memupuk tanggungjawab bersama dalam memelihara kelestarian alam sekitar, khususnya ekosistem hutan paya bakau.

Program ini dilaksanakan melalui pendekatan CEPA (Communication, Education, Participation and Awareness) yang merangkumi aspek komunikasi, pendidikan, penyertaan dan kesedaran. Pendekatan ini turut menyokong usaha memperkukuh hubungan antara Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dengan masyarakat, di samping membudayakan amalan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan Bangsa Johor.

Pelaksanaan program ini memberi penekanan kepada enam objektif utama, iaitu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam semula jadi dan biodiversiti; memberi pendedahan tentang peranan Taman Negara Johor dalam melindungi habitat serta memelihara spesies flora dan fauna; dan meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan ekosistem hutan, hutan paya bakau, tanah lembap serta kawasan pesisir pantai.

Selain itu, program ini turut bertujuan menggalakkan penyertaan aktif pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam aktiviti pendidikan serta pemuliharaan alam sekitar. Usaha ini juga diharap dapat memperkukuh peranan PTNJ sebagai agensi peneraju pendidikan alam dan kesedaran pemuliharaan alam semula jadi di Negeri Johor, selain memupuk rasa tanggungjawab dalam menghargai khazanah alam untuk generasi akan datang.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Haji Md. Israk bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor yang telah menyempurnakan majlis perasmian penutup serta simbolik penanaman pokok bakau.

Penganjuran program ini diharapkan dapat menyemai semangat keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat untuk terus memelihara khazanah alam sekitar. Pemuliharaan ekosistem semula jadi bukan sahaja penting untuk keseimbangan biodiversiti, malah merupakan amanah yang perlu dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *