Johor Bahru — Program Permukiman Strategik Pemantapan Pelaksanaan Program Pembangunan Pertanian Johor 2027 telah membuka tirainya dengan rasmi menerusi Slot Amanat dan Perasmian yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor.
Dalam amanat beliau, Pengarah Pertanian menekankan bahawa kejayaan sesuatu program pembangunan bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang strategik, malah memerlukan keseragaman kefahaman serta ketepatan pelaksanaan di setiap peringkat. Beliau turut mengingatkan agar setiap inisiatif penyelarasan diterjemahkan kepada penyampaian program yang lebih efektif, sekali gus memberi impak dan manfaat yang ketara kepada golongan sasar, khususnya usahawan serta komuniti pertanian di negeri ini.
Sesi program kemudiannya diteruskan dengan taklimat khusus mengenai Garis Panduan Pelaksanaan yang disampaikan oleh Encik Mohd Hafiz bin Ramly, Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan). Sesi ini memberi tumpuan kepada aspek-aspek teras yang menjadi tunjang kepada kelancaran pelaksanaan program, merangkumi:
- Kitaran dan tatacara pelaksanaan projek
- Pengurusan dokumen dan titik kawalan (control points)
- Prosedur perolehan yang teratur
- Aspek pematuhan peraturan dalam pelaksanaan program
Melalui sesi interaktif ini, para pegawai dan pelaksana di peringkat negeri serta daerah berpeluang memperkukuh kefahaman terhadap tatacara yang ditetapkan. Langkah ini penting bagi memastikan gerak kerja jabatan sentiasa selaras, terarah, dan mencapai objektif yang dihasratkan.
Hari pertama permukiman ini ditutup dengan mesej yang jelas: “Apabila kefahaman disatukan, pelaksanaan dapat diperkukuh.”



![]()
