NUSAJAYA | 11 OGOS 2026 Jabatan Pertanian Negeri Johor telah menerima kunjungan Yang Berhormat Tuan Haji Md. Israk bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, dalam satu lawatan kerja ke Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Lawatan kerja tersebut bertujuan memberi ruang kepada Yang Berhormat untuk mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh berhubung fungsi, peranan, struktur organisasi serta pelaksanaan program dan aktiviti Jabatan Pertanian Negeri Johor, khususnya dalam menyokong agenda pembangunan sektor pertanian dan kemajuan luar bandar di negeri ini.
Dalam sesi kunjungan tersebut, Yang Berhormat Tuan Haji Md. Israk bin Abdullah telah diperkenalkan kepada barisan pegawai Jabatan Pertanian Negeri Johor termasuk Pegawai Bahagian Teknikal serta Pegawai-Pegawai Pertanian Daerah dari seluruh negeri. Sesi pengenalan ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerja dan komunikasi antara kepimpinan Kerajaan Negeri dengan warga jabatan di peringkat negeri dan daerah.
Sesi taklimat yang disampaikan oleh Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, turut memberikan penerangan secara menyeluruh mengenai mandat dan tanggungjawab jabatan dalam merancang, menyelaras serta melaksanakan pembangunan sektor pertanian di Negeri Johor.
Antara perkara yang diberikan penekanan ialah fungsi dan peranan bahagian-bahagian utama jabatan, khususnya Bahagian Pembangunan dan Bahagian Operasi, yang merupakan antara komponen penting dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan pertanian dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
Selain itu, aspek pelaksanaan program di peringkat negeri dan daerah, penyampaian perkhidmatan kepada golongan petani serta usahawan agro, di samping cabaran dan keperluan semasa yang perlu diberi perhatian turut diberi penekanan bagi memastikan sektor pertanian terus berkembang seiring dengan perubahan teknologi, ekonomi dan keperluan semasa.
Lawatan kerja ini turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian maklumat antara pihak kepimpinan Kerajaan Negeri dan Jabatan Pertanian Negeri Johor dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan pertanian negeri.
Kerjasama erat dan hubungan strategik antara kepimpinan Kerajaan Negeri dengan Jabatan Pertanian Negeri Johor amat penting bagi memastikan sektor pertanian terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan petani, penternak, pengusaha industri asas tani dan komuniti luar bandar.
Jabatan Pertanian Negeri Johor akan terus komited dalam memperkukuh keupayaan organisasi, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memperkasa pembangunan sektor pertanian melalui pendekatan yang lebih inovatif, berdaya saing dan berteraskan keperluan rakyat.






![]()
