SERDANG, 20 Oktober 2026 – Seramai 25 pegawai Jabatan Pertanian Negeri Johor menyertai National Coconut Seminar 2026: Coconut Industry – “New Economic Crop” yang berlangsung di Auditorium Rashdan Baba, Universiti Putra Malaysia (UPM), sebagai usaha memperkukuh pengetahuan, kompetensi teknikal dan pemahaman terhadap perkembangan semasa industri kelapa negara.
Seminar anjuran Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor, yang turut memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan kompetensi pegawai bagi memperkasa sektor pertanian negeri.
Pengisian hari pertama seminar memberi tumpuan kepada pelbagai aspek penting industri kelapa, termasuk perkembangan dan prospek industri kelapa Malaysia, pembangunan varieti baharu, potensi ekonomi dan pasaran, pengurusan perladangan serta penggunaan teknologi pengairan bagi meningkatkan produktiviti tanaman.
Pendedahan kepada perkembangan teknologi, amalan pengurusan ladang dan peluang pasaran ini penting dalam memperluas pengetahuan pegawai, khususnya dalam menyediakan khidmat pengembangan dan nasihat teknikal yang lebih berkesan kepada pengusaha tanaman kelapa.
Penyertaan ini turut mencerminkan komitmen Jabatan Pertanian Negeri Johor untuk memperkukuh keupayaan sumber manusia melalui pembelajaran berterusan dan perkongsian pengetahuan industri. Ilmu serta pengalaman yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan dalam usaha membimbing pengusaha, meningkatkan produktiviti tanaman dan meneroka peluang pembangunan industri kelapa di negeri Johor.
Dengan potensi kelapa sebagai komoditi pertanian yang mempunyai pelbagai kegunaan dan peluang nilai tambah, pengukuhan kompetensi pegawai menjadi antara elemen penting dalam menyokong pembangunan industri yang lebih produktif, berdaya saing dan mampan.
Memperkasa Kompetensi Pegawai, Memacu Masa Depan Industri Kelapa Johor.



![]()
