𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐍𝐔𝐆𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐇𝐈𝐃𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐂𝐄𝐌𝐄𝐑𝐋𝐀𝐍𝐆 (𝐀𝐏𝐂) 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐒𝐀𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐃𝐈 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐈𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑
ISKANDAR PUTERI, 6 JULAI 2026 – Seramai 25 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan 15 orang pesara dan bakal pesara tahun 2026 diraikan dalam majis penuh gemilang iaitu Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Majlis Sanjungan Budi Tahun 2026 Jabatan Pertanian Negeri Johor yang telah diadakan di LS Hall B, Sunway Big Box, Iskandar Puteri.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mohammed Ridha bin Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor. Turut hadir bersama Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor, barisan dif-dif jemputan serta seluruh warga kerja Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 kerana telah menunjukkan dedikasi yang tinggi, kesungguhan yang luar biasa serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus menyumbang khidmat dan bakti dengan penuh semangat dalam menghasilkan mutu kerja yang lebih berkualiti serta menjadi panduan dan tauladan kepada rakan sekerja yang lain.
Terbang tinggi si burung helang,
Hinggap sebentar di pohon randu,
Penerima Anugerah Khidmat Cemerlang,
Menjadi kebanggaan setiap waktu.
Anugerah diberi tanda kecemerlangan,
Warga cemerlang tersenyum manis,
Hasil kerja jadi sanjungan,
Sambutan anugerah penyeri majlis.
Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan selamat menikmati alam persaraaan kepada semua pesara dan bakal pesara tahun 2026 yang diraikan dalam majlis ini. Sesungguhnya segala sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan akan sentiasa terpahat dalam memori dan akan terhimpun dalam lipatan sejarah Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Tuai padi antara nampak,
Esok jangan layu-layuan,
Intan dicanang menyinar kompak,
Jasa tuan jadi kenangan.
Kain songket tenunan lama,
Disimpan rapi di dalam peti,
Segala jasa khidmat bersama,
Sentiasa terpahat di dalam hati.
Rumpun pandan di tepi titi,
Tempat berteduh sang Kelana,
Selamat bersara kami hormati,
Moga hidup sentiasa bahagia.










































