𝟐𝟒 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐈𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 𝐊𝐄 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐓𝐀𝐍𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐂𝐈𝐋𝐈 𝐌𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐂𝐒𝐂 𝐏𝐋𝐀𝐍𝐓𝐀𝐓𝐈𝐎𝐍, 𝐀𝐆𝐑𝐎 𝐌𝐈𝐗 𝐅𝐀𝐑𝐌 𝐒𝐄𝐆𝐀𝐌𝐀𝐓
Segamat, Johor – Pengarah Pertanian Negeri Johor, Tuan Haji Yosri bin Mohd, telah mengadakan lawatan kerja ke projek tanaman cili merah milik CSC Plantation yang terletak di Agromix Fasa 3, Segamat.
Projek yang diusahakan di atas kawasan seluas 20 ekar ini melibatkan penanaman sebanyak 100,000 polibeg cili merah, sekali gus memperlihatkan komitmen sektor swasta dalam memperkukuhkan pengeluaran hasil pertanian dan menjamin bekalan makanan negara.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah En. Zamri bin Aya, Pegawai Pertanian Daerah Segamat, bersama En. Mohd Haziq bin Roslan dan Pn. Siti Nur Amalina binti Senan, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Segamat.
Ketibaan rombongan telah disantuni oleh Datuk Chin Boon Tak, selaku pemilik CSC Plantation, yang turut berkongsi perkembangan projek serta perancangan syarikat dalam memperkasakan industri tanaman cili secara komersial melalui penggunaan teknologi dan amalan pertanian yang baik.
Lawatan ini diharap dapat mengukuhkan kerjasama strategik antara Jabatan Pertanian Negeri Johor dan pengusaha pertanian dalam usaha meningkatkan produktiviti serta memperkasa sektor agromakanan negeri Johor.












