BATU PAHAT, 18 April – Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) Seri Utama, Kg. Sg. Nibong, Semerah, Batu Pahat di bawah bimbingan Jabatan Pertanian telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Kumpulan Wanita Jaya (KWJ) peringkat negeri Johor dan akan mewakili Johor menyertai pertandingan Anugerah KWJ Peringkat Kebangsaan bersempena Hari Peladang, Penternak & Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dan MAHA 2016 yang akan diadakan di MAEPS, Serdang, Selangor tidak lama lagi.
KPW Seri Utama telah memenangi pertandingan setelah Kumpulan Wanita Unit Peladang Seri Puteri bimbingan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menarik diri. Kategori pemilihan KWJ ini adalah berdasarkan perkumpulan wanita yang aktif melaksana pelbagai aktiviti bagi menjana pendapatan sosio-ekonomi setempat di bawah bimbingan agensi-agensi kerajaan dalam Kementerian Pertanian. Panel hakim pertandingan kali ini diketuai oleh oleh Pn. Norhaniza Hashim dari Jabatan Pertanian, En. Mohd Safie Saroni, Jabatan Perkhidmatan Veteriner, Pn. Umi Kalsom Amran, LKIM dan Pn. Kaisyatul Rifqah Zainal Abidin dari LPP. Syabas dan tahniah diucapkan kepada KPW Seri Utama, Kg. Sg. Nibong dan semoga mereka akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Oleh: Nor’azmi bin Sabikin
![]()
