Pertanian bandar semakin mendapat perhatian sebagai salah satu pendekatan untuk menggalakkan aktiviti bercucuk tanam di kawasan kediaman yang mempunyai ruang terhad. Selain penggunaan tanah konvensional, pelbagai media tanaman alternatif boleh digunakan bagi menyokong pertumbuhan tanaman mengikut kesesuaian sistem penanaman dan keperluan tanaman.
Media tanaman berfungsi menyokong akar, mengekalkan kelembapan serta membantu pengudaraan di sekitar zon akar. Pemilihan media yang sesuai penting bagi memastikan pertumbuhan tanaman lebih optimum, khususnya dalam sistem pertanian moden seperti hidroponik, fertigasi dan penanaman dalam bekas.
Enam jenis media tanaman alternatif
Antara media yang boleh digunakan dalam pertanian bandar ialah:
1. Sabut kelapa (Cocopeat)
Sabut kelapa yang diproses menjadi cocopeat mempunyai keupayaan menyimpan air yang baik dan bersifat ringan. Media ini sesuai digunakan untuk penyemaian benih serta sebagai komponen campuran media tanaman.
2. LECA (Lightweight Expanded Clay Aggregate)
LECA ialah bebola tanah liat yang dikembangkan melalui proses pemanasan. Media ini mempunyai struktur berliang, ringan dan membantu pengudaraan serta saliran di zon akar. Penggunaannya sesuai untuk sistem penanaman tertentu, termasuk sistem hidroponik dan tanaman hiasan.
3. Rockwool
Rockwool atau bulu mineral merupakan media tanaman yang digunakan dalam sistem penanaman tanpa tanah. Media ini mampu mengekalkan air dan menyediakan ruang udara untuk akar apabila diurus dengan betul. Ia turut digunakan dalam penyemaian benih serta sistem hidroponik tertentu.
4. Perlit (Perlite)
Perlit ialah bahan mineral ringan yang diproses untuk menghasilkan struktur berliang. Penambahannya dalam campuran media dapat membantu meningkatkan pengudaraan dan memperbaiki saliran, sekali gus mengurangkan risiko media terlalu padat.
5. Arang sekam
Arang sekam dihasilkan melalui pemprosesan sekam padi dan boleh digunakan sebagai salah satu komponen campuran media tanaman. Penggunaannya membantu memperbaiki struktur media serta menyediakan ruang udara untuk perkembangan akar, bergantung pada kualiti bahan dan kadar campuran.
6. Vermikulit (Vermiculite)
Vermikulit ialah bahan mineral yang mempunyai keupayaan menyimpan air dan membantu mengekalkan kelembapan media. Ia boleh digunakan dalam campuran media penyemaian dan penanaman dalam bekas mengikut keperluan tanaman.
Pemilihan media mengikut keperluan tanaman
Setiap media mempunyai ciri yang berbeza dari segi keupayaan menyimpan air, pengudaraan, saliran dan kestabilan struktur. Oleh itu, pemilihan media hendaklah mengambil kira jenis tanaman, kaedah pengairan, sistem penanaman dan keadaan persekitaran.
Bagi sesetengah tanaman, gabungan beberapa jenis media boleh digunakan untuk mendapatkan keseimbangan antara kelembapan dan pengudaraan akar. Pengurusan pembajaan serta penyiraman juga perlu disesuaikan kerana media tanpa tanah lazimnya mempunyai keupayaan membekalkan nutrien yang berbeza daripada tanah pertanian biasa.
Justeru, pengetahuan mengenai ciri dan fungsi media tanaman dapat membantu masyarakat memulakan aktiviti pertanian bandar dengan lebih terancang, sama ada di halaman rumah, balkoni mahupun ruang kecil yang bersesuaian.
Marilah kita memanfaatkan ruang yang ada dengan mengamalkan pertanian bandar secara kreatif dan berkesan bagi menyokong pengeluaran makanan sendiri serta menyemarakkan budaya bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat.
Ruang terhad bukan penghalang. Pilih media yang sesuai, suburkan tanaman dan hijaukan kediaman.
![]()
