Johor Bahru, 4 Oktober 2026 – Tirai Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Johor 2026 telah dibuka secara rasmi dalam satu majlis perasmian yang berlangsung meriah di Angsana Johor Bahru Mall, dengan menghimpunkan usahawan Industri Asas Tani (IAT), pengunjung serta pelbagai produk agromakanan dan hasil keluaran tempatan Johor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Md. Israk bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Tuan Sahrihan bin Jani, Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, serta Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor.
Mengangkat tema “Menyingkap Warisan Tani, Mengukir Nilai Global”, Ekspo IAT Johor 2026 menjadi platform strategik bagi mengetengahkan kepelbagaian produk usahawan tempatan, memperluas jaringan pasaran serta membuka peluang baharu kepada pengusaha Industri Asas Tani untuk mengembangkan perniagaan.
Penganjuran ekspo ini turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pertanian Negeri Johor dalam memperkasa usahawan IAT melalui promosi produk tempatan, pengukuhan jaringan pemasaran dan peningkatan daya saing produk agromakanan Johor.
Selain menjadi ruang pameran dan jualan, ekspo ini turut menjadi medan untuk memperkenalkan keunikan serta potensi produk tempatan kepada masyarakat, sekali gus mengangkat hasil usahawan Johor ke tahap yang lebih luas.
Orang ramai dijemput untuk hadir dan memeriahkan Ekspo IAT Johor 2026 serta menyokong produk keluaran usahawan tempatan.
Lokasi: Angsana Johor Bahru Mall
Tema: Menyingkap Warisan Tani, Mengukir Nilai Global


![]()
