PROJEK SMART INDOOR VERTICAL FARM FARMBYTE: MEMPERKUKUH AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN JOHOR
Projek Smart Indoor Vertical Farm di Iskandar Puteri, Johor bakal memulakan operasi sepenuhnya pada Jun 2025. Projek perintis ini merupakan kerjasama strategik antara FarmByte Sdn. Bhd. dan Archisen Pte. Ltd. dari Singapura dengan pelaburan sebanyak RM38 juta.
Dengan keluasan 50,000 kaki persegi, ladang ini mampu menghasilkan 306,000 kilogram sayur-sayuran premium setahun, termasuk salad, ice plant, dan sawi. Projek ini memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri Johor, sejajar dengan aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Selain itu, inisiatif ini turut mencipta peluang pekerjaan baharu dalam sektor pertanian berteknologi tinggi serta menyokong pembangunan pertanian moden dan lestari. Kejayaan projek ini membuktikan komitmen Johor dalam menerajui inovasi pertanian pintar dan menjadikan negeri ini sebagai hab agroteknologi serantau.
Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi sentiasa komited dalam memperkasa sektor pertanian berteknologi tinggi serta memastikan agenda keterjaminan makanan negeri terus diperkukuh. Sokongan berterusan daripada kepimpinan negeri menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan projek inovatif ini demi manfaat rakyat Johor.
Dengan pembangunan ladang menegak ini, Johor terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju sektor pertanian pintar, memperkukuh daya saing industri agro makanan serta memastikan bekalan makanan yang mampan untuk rakyat dan pasaran eksport.
#JS-SEZ


![]()
