JOHOR BAHRU – Seramai 90 pelajar kursus Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional Tanjung Puteri telah memanfaatkan dengan sepenuhnya tanah kosong yang terdapat di kolej mereka bagi mengusahakan projek tanaman cili fertigasi. Usaha luar jangkaan pelajar yang berpotensi menghasilkan pendapatan sehingga RM6,000 ini sememangnya boleh dijadikan contoh terbaik. Pembangunan projek ini mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Pertanian Negeri Johor melalui Pejabat Pertanian Daerah Johor Bahru yang ingin melahirkan lebih ramai usahawan yang membabitkan diri dalam industri pertanian menerusi Program Pertanian Bandar.
Pihak Jabatan Pertanian telah menyalurkan bantuan sebanyak RM8,000 termasuk 200 anak pokok cili, baja dan peralatan fertigasi kepada pihak KVTP bagi memastikan hasil yang bakal dituai kelak mempunyai kualiti yang baik seterusnya dapat dipasarkan. Pegawai Pertanian Daerah Johor Bahru, Encik Mohd Hafidz Hussin berkata, kumpulan pelajar tersebut telah menjalankan projek cili fertigasi bermula pada Ogos tahun lalu dan telah menyasarkan hasil tuaian sehingga 500 kilogram cili yang boleh dijual antara RM8 hingga RM12 sekilogram.
Projek Tanaman Cili Fertigasi ini telah dirasmikan oleh Encik Sahibul Bahrin Ahmad, Ketua Unit Teknik dan Vokasional Jabatan Pendidikan Johor yang menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pihak KVTP dan berharap tujuh lagi kolej vokasional dalam negeri Johor inidapat mengikut jejak langkah yang sama kerana melaluinya pelajar secara tidak langsung didedahkan dengan aktiviti keusahawanan merangkumi teknik dan kaedah yang betul dan bukannya sekadar suka-suka tanpa hala tuju dan matlamat.







