Alhamdulillah, ekonomi Johor terus berkembang apabila mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi pada tahun 2024 iaitu sebanyak 6.4 peratus, melepasi kadar pertumbuhan nasional. Nilai KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai enjin pertumbuhan utama negara dalam pelbagai sektor.

Dalam konteks sektor pertanian, Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor pertanian negara dengan pertumbuhan sebanyak +4.2%, dan seterusnya menyumbang 17.3% kepada KDNK pertanian Malaysia, tertinggi dalam negara!

Pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif, kerja keras dan dedikasi para petani, penternak, nelayan, pertubuhan-pertubuhan peladang, sokongan padu jabatan/agensi, pelabur dan GLC serta semua pihak berkaitan sektor ini yang bersama-sama menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian dan agenda keterjaminan makanan di Johor.

Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat martabat sektor pertanian Johor, malah membuktikan potensi besar sektor ini dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terutamanya kepada para pengusaha yang terlibat.

Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi akan terus memberi komitmen penuh dalam memperkasa sektor ini secara menyeluruh dan inklusif, demi kemakmuran Johor dan kesejahteraan rakyat.

Antara yang akan menjadi fokus adalah mengenai usaha-usaha untuk meningkatkan penglibatan generasi muda agar sektor ini terus diterajui oleh tenaga baharu yang lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing. Kerajaan Negeri optimis bahawa dengan suntikan semangat anak muda, disokong oleh penggunaan teknologi moden dan akses kepada peluang keusahawanan, sektor ini mampu berkembang secara mampan serta menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Terima kasih Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Johor yang telah membentangkan dapatan terbaru serta indikator-indikator utama kepada pihak kami dan seterusnya menjadi panduan untuk terus bergerak maju kehadapan.

#MajuJohor

#JohorFoodSecurity

#PertanianJohor

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *