Alhamdulillah. Saya telah menghadiri Mesyuarat EXCO-EXCO Pertanian Negeri bersama YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi menyelaras pelbagai dasar serta cadangan berkaitan pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara.
Syukur, Negeri Johor terus memainkan peranan utama dalam menerajui sektor pertanian negara. Menerusi pembentangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam mesyuarat ini, dapatan interim Banci Pertanian 2024 menunjukkan bahawa Johor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada sektor pertanian negara, dengan nilai jualan mencecah RM27.2 bilion.
Sebagaimana yang ditekankan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, usaha berterusan untuk memastikan sektor ini terus berkembang, berdaya saing dan inklusif akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Tumpuan juga akan diberikan kepada pemerkasaan kumpulan sasar berkaitan, seperti petani, penternak, nelayan dan seluruh pengusaha sektor ini khususnya dalam perancangan Belanjawan Johor 2026.
Saya juga telah menekankan kepada pihak kementerian bahawa, dalam kerancakan usaha Kerajaan Negeri membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sektor keterjaminan makanan (food security) turut diangkat sebagai salah satu bidang keutamaan. Tumpuan khusus diberikan kepada penggalakan aktiviti pertanian moden dan berteknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran produk agromakanan yang berkualiti dan berdaya saing.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kelulusan peruntukan khas sebanyak RM23.4 juta kepada Negeri Johor bagi pelaksanaan 20 program dan projek pertanian sepanjang tahun ini. Kerajaan Negeri komited sepenuhnya untuk memastikan pelaksanaan program kerjasama strategik ini berjalan lancar dan memberi impak optimum kepada pembangunan sektor pertanian negeri.
Dalam mesyuarat ini, saya turut mengutarakan cadangan penambahbaikan dari segi pengurusan bagi mempercepatkan penyaluran bantuan bencana kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas, khususnya akibat bencana banjir. Langkah ini penting bagi memastikan projek-projek yang terkesan dapat dipulihkan dan dilaksanakan semula dengan segera, demi kelangsungan sumber pendapatan mereka dan kesinambungan pengeluaran agromakanan negara.
Kerajaan Negeri menerusi portfolio ini akan terus memberikan komitmen penuh dalam usaha memartabatkan sektor pertanian, selari dengan agenda Maju Johor. Usaha ini diharap dapat meningkatkan tahap sosioekonomi para pengusaha yang terlibat serta menyumbang kepada tahap keterjaminan makanan negeri dan negara amnya.
















![]()
