SUMBER DARI PEJABAT PENGERUSI JAWATANKUASA PERTANIAN, INDUSTRI ASAS TANI DAN KEMAJUAN LUAR BANDAR NEGERI JOHOR.
1. Kerajaan Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kelulusan peruntukan berjumlah RM23.4 juta bagi pelaksanaan Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah yang dilaksanakan secara kerjasama antara KPKM dan Kerajaan Negeri Tahun 2025. Jumlah ini merangkumi peruntukan sebanyak RM9.25 juta bagi Fasa 1 (Februari 2025) dan RM14.15 juta bagi Fasa 2 (Jun 2025).
2. Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan 20 program/projek berimpak tinggi untuk menyokong Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor. Ia meliputi usaha-usaha untuk memperkasakan amalan pertanian moden, merancakkan industri asas tani dan industri akuakultur, meningkatkan pengeluaran industri tenusu menerusi projek Jemaluang Dairy Valley (JDV), menaiktaraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), pembangunan industri nanas dan sawah padi, menaiktaraf fasiliti pasar tani kekal dan pembangunan agropelancongan serta memperkasa belia tani di Negeri Johor.
3. Kerajaan Negeri Johor memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap program/projek ini dilaksanakan dengan jayanya demi memartabatkan lagi sektor agromakanan di Negeri Johor, dan Malaysia amnya. Usaha ini diyakini akan menghasilkan limpahan manfaat yang dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor, merentas setiap lapisan masyarakat dan pelusuk negeri.
Terima kasih.
3 Jun 2025
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan


![]()
