Putrajaya, 11 Mac 2025 – Merujuk kepada beberapa laporan media berkaitan isu kualiti benih padi sah, Jabatan Pertanian ingin menjelaskan dakwaan mengenai kemerosotan kualiti benih padi sah.
.
Menurut Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi, Jabatan Pertanian bertanggungjawab sebagai agensi pengesah dalam pelaksanaan Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) yang bertujuan memastikan benih padi sah yang
dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan.
.
“Pelaksanaan SPBP melibatkan pemeriksaan ladang, pengauditan premis, semakan dokumentasi dan pengujian kualiti bagi memastikan benih yang dihasilkan mematuhi piawaian yang digariskan, termasuk Standard Jabatan Pertanian Malaysia 2021, Malaysian Standard (MS) 469:2012, serta peraturan The International Seed Testing Association (ISTA).
.
Namun, kualiti benih padi selepas perakuan pengesahan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kaedah penyimpanan, pengendalian serta tempoh masa
antara pengesahan dan penggunaan benih oleh pesawah,” jelas beliau.
.
“Jabatan Pertanian turut menjalankan pemeriksaan terperinci dan ketat terhadap
semua pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan benih yang dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan.
.
Pemeriksaan ini melibatkan ladang benih padi, pengauditan premis pemprosesan, semakan dokumentasi dan ujian makmal bagi memastikan benih yang dihasilkan mematuhi syarat yang ditetapkan.
.
Namun, tanggungjawab terhadap kualiti benih selepas pengesahan terletak pada pengeluar dan sebarang isu berkaitan penyimpanan serta pengedaran adalah di luar bidang kuasa Jabatan Pertanian,” tegas beliau lagi.
.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang aduan berkaitan kualiti benih padi sah boleh dikemukakan kepada Jabatan Pertanian bagi tujuan siasatan lanjut berpandukan kebolehkesanan (traceability) melalui label pada beg benih bagi
mengenal pasti punca serta proses penghasilannya.
.
Justeru, pesawah diingatkan
untuk menyimpan label pada beg benih dan memastikan tidak menerima beg benih padi sah yang telah melepasi tarikh penggunaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian supaya aduan mengenai kualiti dapat ditangani dengan lebih cepat dan
berkesan.
.
“Selain itu, pesawah dinasihatkan untuk merujuk kepada Rice Check bagi memastikan pengurusan tanaman padi mengikut prosedur serta mencapai sasaran yang ditetapkan dalam peningkatan produktiviti dan kualiti padi,” katanya.
.
Jabatan Pertanian komited untuk terus memastikan bekalan benih padi sah yang berkualiti serta menyokong pembangunan sektor pertanian negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
![]()
