PUTRAJAYA, 6 Mac – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa kenaikan harga santan yang berlaku ketika ini adalah bersifat sementara dan bermusim.
.
Rakyat diminta untuk tidak panik kerana beberapa langkah intervensi telah diambil bagi memastikan bekalan kelapa tua mencukupi dan harga kembali stabil.
.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, berkata kenaikan harga santan ketika ini berpunca daripada permintaan yang meningkat serta kekurangan bekalan kelapa tua akibat perubahan cuaca dan kecenderungan petani tempatan menjual kelapa muda berbanding kelapa tua yang diperlukan dalam pemprosesan santan.
.
“Kerajaan melalui KPKM sedang mengambil langkah segera untuk menangani isu ini. Sehingga 4 Mac 2025, FAMA dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) telah membawa masuk sebanyak 734,096 biji kelapa tua dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian RM1.615 juta,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah intervensi jangka pendek, sebanyak 640,000 biji kelapa tua akan terus dibawa masuk setiap bulan dari Sabah, Sarawak dan Indonesia bagi memastikan bekalan kelapa bagi kegunaan Semenanjung Malaysia mencukupi terutamanya menjelang musim perayaan.
.
“Bekalan kelapa ini telah diedarkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA ke pasaran menerusi 509 outlet pemasaran seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal. Sebahagian bekalan juga diagihkan kepada 16 pemborong serta 202 usahawan santan di seluruh negara,” tambahnya.
.
Datuk Seri Haji Mohamad Sabu turut memberi jaminan bahawa langkah ini akan membantu menstabilkan harga santan serta memastikan kelangsungan industri pemprosesan santan dan produk berasaskan kelapa.
.
“Saya ingin menasihatkan rakyat supaya tidak panik. Kerajaan komited untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan kestabilan harga dapat dikekalkan. Kami akan terus memantau situasi ini dan mengambil langkah sewajarnya,” katanya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
![]()
