KOTA ISKANDAR, 14 Januari 2025 – Telah diadakan Majlis Amanat Pengarah Pertanian Negeri Johor Tahun 2025 dan Majlis Penutupan Sukan (Super J) Jabatan Pertanian Negeri Johor di Dewan Bankuet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Majlis Amanat Pengarah Pertanian Negeri Johot Tahun 2025 telah disempurnakan oleh Tuan Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor. Dalam amanat tersebut, beliau menyampaikan beberapa perkara daripada Amanat Menteri Besar Johor Tahun 2025 iaitu antaranya ialah kita harus bekerja keras bagi mencapai impian dalam menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang maju dalam semua aspek; dan kita semua sebagai penjawat awam telah diarahkan supaya menghayati dan mempraktikkan H.E.M.A.T (Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran).
Tuan Haji Yosri juga dalam amanatnya mengharapkan komitmen dan kerjasama semua pegawai dan kakitangan dalam menjayakan empat (4) KPI Utama Jabatan bagi tahun 2025 iaitu
1 – prestasi Perbelanjaan Peruntukan Mengurus dan Pembangunan dapat dibelanjakan degan berhemah, value for money dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan;
2 – semua TKPM Negeri Johor dapat mempraktikkan salah satu elemen Smart Farming dan menjelang tahun 2026 semua peserta TKPM dapat menggunapakai smart farming;
3- pendaftaran petani di dalam Geotanaman dapat diberikan penumpuan yang lebih khusus dan terangkum menjelang tahun 2027; dan
4 – pencapaian pensijilan myGAP dan myOrganik dapat dipertingkatkan dan mencapai sasaran tahunan lebih awal dari sepatutnya.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan Majlis Penutupan Sukan (Super J) Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2024. Ia adalah bagi menghargai kerja keras dan komitmen semua pegawai dan kakitangan sepanjang tahun 2024. Sukan Super J telah diadakan pada bulan Disember dan hampir 300 orang telah terlibat dan menyertai acara sukan tersebut. Objektif sukan ini diadakan adalah bagi mengeratkan silaturrahim sambil menyihatkan tubuh badan. 8 acara sukan telah dipertandingkan iaitu boling, badminton, futsal, ping pong, bola tampar (lelaki dan wanita), e-Sports (FIFA 2025 & Mobile Legend), congkak dan bola jaring.














































































