Perkhidmatan Diagnostik Perosak Tanaman

Pengenalan

Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) menyediakan perkhidmatan diagnostik perosak dan penyakit tanaman kepada petani, usahawan tani, agensi kerajaan, organisasi swasta dan individu.

Perkhidmatan diagnostik yang dijalankan adalah termasuk pengenalpastian perosak atau melakukan ujian makmal untuk mengenal pasti organisma penyebab dan seterusnya memberikan nasihat teknikal mengenai kawalan makhluk perosak atau penyakit.

Pelanggan boleh membawa sampel tumbuh-tumbuhan atau bahagian tumbuhan yang terjejas, sampel perosak (serangga, vertebrata, moluska dan rumpai) dan sampel-sampel penyakit ke makmal-makmal BBT di Ibu Pejabat Kuala Lumpur atau Unit Biosekuriti Tumbuhan Negeri untuk pengenalpastian.

Di Ibu Pejabat BBT, terdapat makmal diagnostik khusus, koleksi rujukan spesimen perosak dan rujukan maklumat perosak dan penyakit tanaman yang boleh digunakan untuk mengenal pasti sampel penyakit dan perosak sampel. Unit Biosekuriti Tumbuhan di negeri-negeri juga boleh dihubungi untuk bantuan bagi menangani masalah perosak dan penyakit.

 
Bagaimana Untuk Mengemukakan Sampel Untuk Diagnosis Penyakit?

  1. Pastikan sampel tumbuh-tumbuhan yang dikumpulkan adalah yang menunjukkan pelbagai peringkat kerosakan. JANGAN MENGEMUKAKAN/HANTAR TUMBUHAN YANG SUDAH MATI - sampel akan membusuk atau rosak sebelum pegawai teknikal/makmal membuat diagnostik. Pastikan spesimen menunjukkan simptom atau kesan kepada masalah perosak/penyakit yang dihadapi. Hantar sampel bahan tumbuhan yang cukup untuk menunjukkan semua peringkat penyakit - iaitu dari bahagian yang sihat kepada bahagian yang paling tidak sihat. Untuk ujian virus, pastikan untuk menghantar daun yang hijau dan daun yang menunjukkan simptom penyakit. Hantarkan juga sampel bahagian tumbuhan yang menunjukkan simptom dari keseluruhan tumbuhan, akar dan yang berkaitan. Akar hendaklah digali dan bukannya ditarik atau dicabut.
  2. Semasa menyerahkan sampel, maklumkan mengenai sejarah tanaman/penanaman dan corak simptom yang berlaku di lapangan. Sesetengah penyakit cenderung untuk merebak dalam corak atau ciri yang tertentu di kawasan penanaman.
  3. Sertakan juga maklumat-maklumat lain : maklumat tanah, tumbuh-tumbuhan di kawasan berhampiran, dan kronologi masalah yang dihadapi. Sila kemukakan gambar sekiranya ada. Pejabat dan Makmal Bahagian Biosekuriti Tumbuhan mempunyai Borang Penghantaran Sampel Khidmat Diagnostik Perosak Tanaman untuk dibawa atau disertakan dengan sampel.
  4. Balut spesimen dalam tuala kertas atau surat khabar bersih untuk mengelakkan kelembapan. Bungkus secara longgar dalam beg plastik untuk mengurangkan berlakunya kekeringan. Pastikan spesimen berada dalam keadaan sejuk dan hantar pada hari yang sama.
  5. Untuk surat-menyurat, gunakan bekas yang kukuh seperti kotak beralun (corrugated boxes) atau bekas tiub untuk mengelakkan spesimen rosak dalam perjalanan. Isikan ruang kosong di dalam kotak dengan kertas yang dipotong kecil untuk melindungi spesimen.

PEGAWAI PENGHUBUNG

Nama : Encik Ramli bin Md Afandi
No. Telefon : 07-2239395
No. Faks : 07-2239398
Emel : biosekurititumbuhan@johor.gov.my
Jawatan : Pegawai Pertanian Kuasa Usaha (G52)
Alamat : 256, Jalan Abdul Samad, 80100 Johor Bahru, Johor

 

Share This:
Last updated on Sunday, 26 March 2017 - 4:16pm