Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11)

Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020, merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991 menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua aspek, iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan budaya menjelang tahun 2020. Susulan daripada pencapaian pembangunan yang cemerlang dalam tempoh separuh dekad yang lalu, RMKe-11 mengukuhkan lagi komitmen Kerajaan untuk mencapai pertumbuhan yang bermatlamatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. RMKe-11 berteraskan prinsip “Bangsa Malaysia” yang progresif dan bersatu serta berkongsi cita-cita dan komitmen yang sama dalam meningkatkan lagi kemakmuran negara untuk rakyat. Penyediaan RMKe-11 adalah berpandukan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) yang memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi berteraskan rakyat dan ekonomi berasaskan modal dengan pelaksanaan program dan projek yang berimpak tinggi, boleh dilaksanakan dengan pantas serta kos yang rendah kepada Kerajaan.

Ekonomi berasaskan modal merujuk kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perniagaan besar, projek pelaburan besar dan pasaran kewangan, manakala ekonomi berteraskan rakyat lebih menumpukan kepada kepentingan rakyat, termasuk peluang pekerjaan, peniagaan kecil, kos sara hidup, kesejahteraan keluarga, dan penyertaan masyarakat. Sehubungan ini, RMKe-11 merupakan satu pelan strategik yang melakar perjalanan pembangunan masa hadapan Malaysia yang selaras dengan impian rakyat dan dapat menikmati hasil pembangunan yang sepatutnya. Pelan yang bertemakan “pertumbuhan berpaksikan rakyat” ini merupakan satu pelan strategik yang menggariskan komitmen Kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat. RMKe-11 mengandungi enam teras strategik dan enam pemacu perubahan yang akan melaksanakan usaha untuk merealisasikan matlamat Malaysia menjadi negara maju dan inklusif selaras dengan Wawasan 2020.

** Untuk maklumat lanjut, sila layari http://epu.gov.my/ms/rmk/rancangan-malaysia-kesebelas-2016-2020

Share This:
Last updated on Sunday, 19 March 2017 - 4:53pm