Dasar Jaminan Makanan

Peningkatan harga makanan dan kekurangan bekalan di peringkat antarabangsa telah menyebabkan krisis makanan berlaku di beberapa buah Negara. Sungguhpun demikian, bekalan makanan dalam Negara pada masa ini termasuk bekalan makanan yang diimport masih mampu menampung permintaan rakyat Malaysia.

Dalam keadaan dimana harga makanan dunia terus meningkat sejak awal tahun 2008, Kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memastikan bekalan makanan Negara sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Untuk tujuan tersebut, Kerajaan telah meluluskan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) pada 2 Mei 2008 bagi:

  1. Meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agro makanan bagi memenuhi tahap sara diri.
  2. Memastikan pengusaha pertanian mendapat pendapatan yang setimpal serta menjamin pengeluaran bahan makanan tidak menurun.
  3. Memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Bagi memastikan matlamat DJBM tercapai, Kementerian Pertanian telah merangka tujuh (7) program/projek utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2008-2010 melalui Jabatan/Agensi di bawah Kementerian. Bagi tahun 2008, program/projek yang dirancangkan meliputi:

  1. Peningkatan pengeluaran beras
  2. Pewujudan stok penimbal beras
  3. Program peningkatan pengeluaran dan produktiviti tanaman, perikanan dan ternakan.
  4. Pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha Pertanian
  5. Mengukuhkan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian
  6. Pelaksanaan Program Bumi Hijau
  7. Pembangunan tanah terbiar dan kolam terbiar untuk meningkatkan pengeluaran

Jabatan Pertanian Malaysia diberi tanggungjawab melaksanakan 5 program / projek iaitu:

  1. Projek perataan sawah – jelapang / luar jelapang
  2. Projek taman kekal pengeluaran makanan
  3. Projek pembangunan tanah terbiar
  4. Program bumi hijau
  5. Pemberian insentif bagi menggalakkan peningkatan pengeluaran makanan

Disamping bertanggungjawab melaksanakan kelima-lima program/projek di atas, Jabatan Pertanian juga bertanggungjawab sebagai Ketua bagi pelaksanaan keseluruhan projek peningkatan pengeluaran padi/beras.

Dasar Jaminan Makanan Negara ini diharap dapat membantu dan meringankan beban peningkatan kos pengeluaran serta menggalakkan peningkatan pengeluaran hasil tani bagi petani negara yang terlibat dalam pengeluaran tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, akuakultur dan ternakan.

Share This:
Last updated on Sunday, 19 March 2017 - 3:24pm