×

Error message

Deprecated function: The each() function is deprecated. This message will be suppressed on further calls dalam menu_set_active_trail() (baris 2405 dari /home/pertaniancp/public_html/includes/menu.inc).

Lawatan TKPO ke Ladang Kelapa Tacunan Taman Pertanian Johor

MASAI, 18 Julai - Taman Pertanian Johor telah menerima lawatan kerja daripada Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Operasi), Encik Abdul bin Daut serta pegawai dari Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Jabatan Pertanian Malaysia. Lawatan kerja ini khusus bagi melihat perkembangan tanaman Kelapa Tacunan (Cocos Nucifera) yang telah ditanam di Taman Pertanian Johor disamping melihat dan meninjau persekitaran serta tanaman lain yang ada.

Pokok varieti Tacunan adalah jenis renek yang mana pelepah daunnya boleh mencecah tanah apabila pokok sudah berbuah. Kelapa Tacunan adalah varieti kelapa popular di Filipina yang singkatannya dikenali dengan TACD (Tacunan Green Dwarf) dan telah diperkenalkan ke Negeri Sabah oleh Jabatan Pertanian Sabah pada tahun 1980 sebagai koleksi janaplasma dari Filipina. Kelapa Tacunan disyorkan untuk penanaman komersil kerana ciri-cirinya, buah bersaiz besar, berbuah awal dan pokok yang rendah. Kos pengeluaran anak benih kelapa Tacunan adalah lebih rendah berbanding dengan kelapa hybrid kerana ianya hanya perlu dibiakkan pada keadaan kebun biji benih yang terpencil (isolated seedgarden) tanpa melibatkan kos pengeluaran debunga, emaskulasi dan pendebungaan berbantu. Ciri asas inilah yang dilihat oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor untuk membuat biakbaka di Taman Pertanian Johor bermula pada tahun 2014. Tapak pengeluaran benih Tacunan ini sedang dibangunkan mengikut fasa di Taman Pertanian Johor yang mana sebanyak 201 biji benih kelapa Tacunan pada fasa pertama telah diterima daripada Jabatan Pertanian Negeri Sabah.

Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Pertanian dalam melihat kepentingannya didalam mempelbagaikan varieti kelapa di Malaysia memandangkan kelapa Hibrid yang popular seperti Kelapa Matag (Matag Hijau - CN13, Matag Orange - CN14 dan Matag Gold -CN15) adalah terhad untuk menghasilkannya. Jabatan Pertanian Negeri Johor telah mengambil inisiatif untuk mengembangbiak veriati tacunan ini dalam melihat kepentingannya dalam memberikan nilai ekonomi kepada petani memandangkan pokok kelapa varieti Tacunan mampu mengeluarkan hasil sehingga 50 ke 90 biji sepokok setahun.

Hadir sama dalam lawatan ini ialah Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Encik Ahmad Kamil bin Mohd Yunus dan Timbalan Pengarah Pertanian Johor, Encik Azreen bin Basir. Taklimat telah disampaikan oleh Encik Asman bin Aman dan Encik Mustaffa Kamal bin Abas serta kakitangan Taman Pertanian Johor.

Share This:
Last updated on Thursday, 19 July 2018 - 12:14pm